Wednesday, October 22, 2008

Bismillahirrahmanirrahim…..

Bismillahirrahmanirrahim…..

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya juga menghasilkan sebuah blog yang begitu indah dan penuh informasi ini setelah segala ujian dan kesukaran dapat saya harungi sepanjang saya menghasilkan blog ini berkat daripada pertolongan daripadaNYA dan kesungguhan daripada diri saya sendiri. Saya menamakan blog saya ini sebagai Sahmura yang memberi maksud permata. Ibarat permata yang bersinar, begitulah juga pada simboliknya blog saya menjadi permata di dalam hati-hati pembaca blog melalui segala informasi yang diinterpretasikan di dalam blog saya ini yang akan menjadi penerang kepada segala kekaburan di hati para pembaca blog sekalian nanti. Insya’Allah…

Konsep blog saya ini adalah berasaskan memberikan segala bentuk informasi dan pengetahuan diiringi dengan hikmah tentang Islam khususnya. Sebagaimana yang dimaklumi oleh kita sebagai muslim, Islam adalah agama yang bersifat syumul di mana ia petunjuk yang hakiki kepada manusia dalam mengharungi kehidupan seharian. Islam memberi petunjuk dalam segenap aspek kehidupan manusia meliputi politik, sosial, ekonomi, pentadbiran negara, penggubalan undang-undang, akidah dan lain-lain lagi. Di dalam blog saya ini, saya telah memasukkan 10 artikel yang mengandungi isu-isu yang mendedahkan tentang pengaplikasian konsep Islam yang tidak dapat lari dalam kehidupan seharian manusia. Selain itu, saya juga memasukkan tentang isu Pelajar Islam di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Memandangkan saya juga pelajar IPTA, maka mudahlah saya untuk mengutarakan isu yang berlaku di kalangan pelajar Islam di IPTA kini sebagai perungkai kepada segala kekaburan yang melingkar di minda masyarakat.

Akhirnya, saya ingin mengalungkan jutaan terima kasih kepada Dr. Zulkiple Abd Ghani kerana membuka jalan kepada saya khususnya dan kepada pelajar-pelajar Jabatan Dakwah dan Kepimpinan amnya dalam mengaplikasikan teknologi sebagai medium dalam menyebarkan dakwah dan kefahaman tentang Islam kepada masyarakat. Saya merasakan pembinaan blog merupakan salah satu alternatif yang boleh digunakan dalam menyebarkan dakwah kepada masyarakat dunia tanpa sempadan kini. Dengan keizinanNYA juga, saya akan meneruskan usaha dalam pembinaan blog dengan menambahkan lagi item-item yang dapat menarik perhatian seluruh masyarakat untuk melayarinya dan seterusnya dapat memberi input berguna yang dapat membantu dalam perkembangan dakwah Islamiah. Sekian, Wassalam.

ILMU TAUHID


SIFATULLAH-MENGENAL ALLAH PADA SIFAT-SIFATNYA.


Akal manusia terbatas dalam mengenal sifat-sifat hakikat Allah SWT kerana akal manusia terbatas, terhad dan hanya mendengar serta menerima dari Allah sendiri melalui Kalam dan Wahyu melalui Rasulullah saw.Jalan yang tepat dan selamat untuk mengenal Allah SWT adalah melalui Al-Quran dan Islam telah menetapkan bahawa manusia tidak layak mengenali sifat-sifat Allah hanya dengan kebebasan daya kemampuan akal sendiri dan Al-Quran telah memberi peringatan yang sangat keras terhadap mereka yang melakukan pendustaan. Kita wajib menerima dan mensifatkan Allah dengan sifat yang telah dinamakan oleh Allah sendiri dengan lafaz yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sama ada melalui wahyunya ataupun melalui lidah Rasulnya.


Hukum mengenal sifat Allah SWT bagi muslim ialah Fardhu Ain. Setiap muslim digalakkan mengenali sifat Allah dengan kadar minima iaitu mengenal dan mengimani dengan penuh yakin bahawa Allah bersifat kesempurnaan dan kemahasucian.


Sifat-sifat Allah boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu sifat zatiyah, fi'liyah dan sifat khabariyah.


Sifat Zatiyah ialah ialah sifat yang wajib bagi zat Allah yang terbahagi kepada sifat nafsiyah, sifat salbiyyah dan sifat thubutiyah. Sifat ini diisbatkan kebenaran melalui dalil naqli dan dan dalil aqli.


Sifat Fi'liyah ialah sifat-sifat yang harus oleh Allah SWT bersifat dengannya dan juga boleh bersifat dengan lawannya. Sifat-sifat ini tergambar dalam Asma' ullah al-Husna. Perbezaan di antara sifat al-dhat dan sifat al-fi'il. Sifat zat bagi Allah ialah sifat yang tiada lawannya contohnya sifat Hidup(al-Hayat) yang mustahil lawannya ialah mati kerana hidup menjadi sifat bagi zat. Sifat al-fi'il pula ialah sifat yang ada lawannya contohnya sifat Al-Muhyi( Menghidupkan) yang mana lawannya ialah al-Mumit (Mematikan).


Sifat khabariah ialah sifat-sifat yang thabit melalui perkhabaran yang benar dan yakin sama ada melalui nas Al-Kitab ataupun hadith yang pada lahir lafaznya serupa dengan makhluk seperti al-Wajh, Al-'Ayn dan Al-Yadd. Kita wajib membenar dan meyakini sifat-sifat khabariyyah dengan makna yang layak dengan keagungan dan kesempurnaan Allah serta mengakui kelemahan diri kita untuk mengetahui maknanya.


Kesimpulannya wahyu Illahi adalah panduan teragung dalam memimpin akal berfikir mencari kebenaran kerana tanpa pimpinan Al-Quran dan Sunnah maka segala persoalan mengenai sifat-sifat Allah akan menyeleweng daripada hakikat yang sebenar kerana Allah sahaja yang mengetahui hakikatnya.

ROGOL DARI PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG ISLAM


Menurut perspektif undang-undang Islam, rogol dalam istilah bahasa Arab disebut sebagai ightisab yang berasal daripada perkataan ghasb yang bererti merampas atau mengambil sesuatu tanpa kerelaan. Walau bagaimanapun dalam undang-undang Islam kebanyakan ulama’ tidak menggunakan istilah ini bagi membincangkan tentang masalah rogol bahkan mereka menggunakan istilah zina bi al-ikrah atau zina secara paksaan. Perbuatan merogol diklasifikasikan sebagai kesalahan zina dalam undang-undang Islam. Sebenarnya istilah rogol tidak dijelaskan secara terang tetapi para fuqaha’ mengklasifikasikannya sebagai zina yang dipaksa. Maka jelaslah bahawa rogol dalam istilah undang-undang Islam merupakan zina yang dipaksa dan dipandang serius.

Ciri kesalahan rogol

1) Zakar itu betul-betul masuk ke dalam faraj perempuan yang bukan isterinya atau pun miliknya dengan cara paksa.
2) Tanpa kerelaan atau persetujuan daripada perempuan.

Pembuktian Jenayah Rogol

1) Penyaksian

Penyaksian oleh 4 orang yang muslim, adil dan melihat sendiri perbuatan jenayah tersebut.

2) Pengakuan

Pengakuan daripada pesalah sendiri yang mengaku bahawa memang benarlah dia yang melakukan jenayah tersebut. Pengakuan tersebut hendaklah datang daripada orang yang mukallaf.

3)Qarinah
Qarinah bermaksud tanda-tanda lahiriah yang ada pada sesuatu yang tersembunyi yang boleh membuktikan adanya unsur-unsur jenayah. Qarinah juga bermaksud sesuatu yang dapat diambil kesimpulan setelah mendapat pandangan dan maklumat daripada doktor-doktor pakar. Oleh itu, qrinah digunakan apabila tidak ada penyaksian dan pengakuan daripada perogol. Kaedah moden pembuktian adalah seperti ujian darah, air mani, rambut dan kesan-kesan jari pada mangsa dapat membantu untuk mengenal pasti lelaki yang merogol seseorang perempuan.

Hukuman terhadap Kesalahan Rogol

1) Hukuman rejam dan sebat mengikut keadaan perogol itu sama ada dia pernah berkahwin atau belum. Kalau sudah berkahwin direjam sampai mati. Manakala perogol yang belum berkahwin dirotan seratus kali.
2) Wajib ke atas lelaki yang merogol ataupun keluarganya membayar mahar misil (harga senilai mas kahwin keluarganya) kepada perempuan yang dirogol itu.
3) Jika perempuan yang dirogol itu cedera, wajib bagi lelaki yang merogolnya membayar pampasan bagi merawat kecederaan perempuan tersebut.
4) Jika perempuan yang dirogol itu mati disebabkan persetubuhan yang dilakukan oleh lelaki yang merogolnya, perogol itu hendaklah diqisas dan keluarga lelaki tersebut wajib membayar pampasan kematian tersebut kepada waris perempuan sebagai diat.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa undang-undang Islam tidak mengharuskan hubungan jenis antara lelaki dan perempuan kecuali melalui perkahwinan yang sah di sisi syarak. Oleh itu, masyarakat Islam secara keseluruhannya perlulah bertanggungjawab dalam usaha membanteras jenayah yang dianggap boleh menjatuhkan moral dan akhlak masyarakat Islam, malahan akan menghancurkan institusi kekeluargaan yang menjadi pemangkin dan asset terpenting. Selain itu, masyarakat seharusnya kembali kepada ajaran agama yang mementingkan soal hubungan kekeluargaan serta meningkatkan keimanan dan kesedaran.

Gempar !!! PUNK ANTI AL-QURAN

Di sini saya ingin mencoretkan selingkar kisah tentang pengalaman seorang remaja yang pernah bergaul dengan budak-budak remaja yang mengamalkan budaya hidup ‘Punk’. Jue seorang gadis remaja yang masih berumur 15 tahun, berasal dari utara tanah air merupakan salah seorang penghuni Pusat Perlindungan Raudhah di Gombak Selangor. Dia sepatutnya masih bersekolah namun akibat pengaruh kawan-kawan dan kurangnya perhatian daripada ibu bapa menyebabkan kehidupannya tiada arah tujuan hinggalah akhirnya dia terpaksa ditempatkan di pusat perlindungan tersebut. Jue pernah terjebak dan bergaul rapat dengan budak-budak punk. Pelbagai pengalaman dahsyat yang pernah dialaminya termasuklah perkara yang boleh menggugat akidah sewaktu dia terjebak di dalam kumpulan budak-budak punk tersebut. Apakah pengalaman dahsyat yang pernah disaksikannya itu? Begini cerita jue; “Masa itu saya tinggal di Kedah. Saya bercinta dengan seorang budak punk. Suatu hari, teman lelaki saya telah mengajak untuk berkumpul dengan budak-budak punk di Pulau Pinang. Perjumpaan itu diadakan di sebuah rumah kosong di kawasan perumahan terbengkalai. Masa saya sampai, dah ada 18 orang budak budak puk lelaki dan perempuan dalam rumah itu. Macam biasa… semua memakai jaket kulit, ada besi tajam-tajam. Boot tinggi dah wajib, rambut berduri, macam-macam warna sambil mereka melayan lagu punk. Sedang asyik melayan lagu, tiba-tiba separuh budak-budak punk itu masuk ke bilik di tengah rumah tersebut. Mereka buat satu bulatan manakala yang lain-lain berlonggok di depan pintu bilik”. Jue telah melihat ada buku yang diletakkan di atas lantai di tengah bilik tersebut. Tiga buah buku semuanya disusun bertingkat-tingkat. Tiba-tiba ketua budak-budak punk tersebut bangun dan menyepak buku-buku tersebut. Bertabur dan melayang buku tersebut ke dinding. Budak-budak punk yang lain turut mengikut perilaku ketua mereka. Setelah disepak, mereka memijak-mijak kemudian mengoyak-ngoyakkan buku tersebut sehingga menjadi cebisan dan bertaburan di lantai.

Setelah diamati alangkah terkejutnya Jue apabila melihat cebisan-cebisan kertas yang sudah terkoyak adalah Al-Quran. Menggigil badan Jue. Setelah puas menyepak, memijak dan mengoyak-ngoyak helaian Al-Quran itu, budak-budak punk tersebut ketawa beramai-ramai. Mereka bersorak gembira. Kemudian, ketua budak-budak punk itu mengeluarkan pemetik api dan membakar al-Quran tersebut. Begitulah cerita dahsyat Jue. Menurut Jue, sepanjang pengalaman dia bercampur dengan budak-budak punk, unsur-unsur anti pada agama dan peraturan memang wujud dalam kumpulan berkenaan. Mereka menganggap al-Quran itu sebagai suatu peraturan yang perlu diprotes dan dimusuhi.

Cerita di atas merupakan suatu iktibar pada kita umat Islam khususnya kepada ibu bapa. Sedih apabila melihat fenomena yang berlaku di kalangan remaja sekarang di mana dari hari ke hari penghayatan Islam dalam kehidupan mereka semakin terhakis malah lebih teruk lagi ada sesetengah remaja yang langsung tiada mendapat pengajaran dan mengamalkan penghayatan Islam dalam hidup mereka. Kesimpulannya, institusi keluarga yang kukuh dari segi corak hidup, ekonomi dan sosial merupakan faktor yang penting dalam membantu remaja-remaja ini menentukan arah hidup mereka ke arah yang betul dan dalam pengawalan akidah mereka daripada terpesong dari Islam. Peranan ibu bapalah dalam mencorak keperibadian anak-anak mereka sejak kecil lagi dengan penghayatan Islam yang sebenar dalam kehidupan mereka. Wallahu a’llam.

Friday, October 17, 2008

ISU PELAJAR IPTA BEKERJA SAMBILAN

Di zaman negara kita dilanda keadaan ekonomi yang tidak menentu kini menyebabkan ramai individu mengambil peluang melakukan apa sahaja usaha untuk mengekalkan taraf ekonomi masing-masing. Individu yang terlibat termasuklah juga di kalangan para pelajar IPTA sendiri yang turut terkena tempias bahang ekonomi yang semakin meruncing kini. Isu harga minyak di pasaran dunia yang naik baru-baru ini telah banyak mempengaruhi sedikit sebanyak harga barang pelbagai lagi yang banyak kaitannya dalam menjalani kehidupan sebagai manusia. Oleh itu, pelajar IPTA yang turut terkena tempiasnya juga mengambil inisiatif sendiri untuk bekerja sambil belajar untuk menampung kehidupan dan kos pengajian di universiti. Walau pun ada yang bergantung dengan PTPTN mahupun biasiswa namun alasan mereka pinjaman atau punh biasiswa yang mereka dapat itu tidak memadai lagi.

Dari sudut positifnya, memanglah bekerja sambilan ini dapat memberi nilai tambah kepada pelajar-pelajar dari segi mendapat pengalaman bekerja, belajar hidup berdikari dan menambah pendapatan. Namun pokoknya di sini bagaimana pelajar tersebut dapat membahagikan masa antara belajar dan bekerja. Jika tidak diatur dengan betul perancangan masa tersebut maka takut nanti mereka akan tercicir dalam pelajaran. Kesimpulannya tiada salahnya untuk bekerja sambilan tetapi perlulah dirancang dengan sebaiknya dari segi pembahagian masa dan jenis pekerjaan yang diceburi. Sekian, renung-renungkan.

FENOMENA ATEIS

Aliran ateis sebenarnya sudah lama wujud. Sejak dari zaman silam, malah sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Sememangnya sudah wujud insan yang tak mahu beragama, dan menidakkan kewujudan Allah SWT. Golongan ini nyata dilaknati Allah SWT sebagaimana juga golongan kafir. Di negara kita sendiri yang diiktiraf sebagai salah sebuah Negara Islam ini juga terdapat golongan yang sebegini. Rasa sedih apabila melihat fenomena ateis ini juga di berlaku di kalangan mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Sepatutnya sebagai orang Melayu yang dilahirkan sebagai orang Islam dan telah menerima hidayahNYA sejak kecil patutlah mereka bersyukur dengan kurniaan tersebut. Namun mereka yang bergelar ateis tidak bersyukur dengan nikmat yag tidak ternilai tersebut dan bertegas tidak mahu mempercayai tuhan yang telah menjadikan mereka. Melalui kajian yang telah dibuat oleh Datuk Dr. Haron Din, seorang ulama dan bekas pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan bahawa golongan yang menjadi ateisme kebanyakannya dipengaruhi oleh cara hidup keluarga mereka yang tidak mempraktikkan cara hidup Islam dalam pembinaan keluarga mereka, pengaruh rakan-rakan dan terlalu mengagungkan cara hidup Barat.

Kita selidiki pula ciri-ciri golongan ateisme ini. Golongan Ateisme menganggap segala yang terjadi dan makhluk yang berada di atas muka Bumi ini adalah terjadi secara semulajadi. Selain itu, pemikiran mereka berpegang kepada kebenaran sains semata-mata bagi menjawab segala persoalan tentang kejadian alam dan makhluk demikian juga dengan kewujudannya tuhan. Begitulah ciri-ciri golongan ateisme yang mahukan kebebasan dalam kehidupan mereka dan tidak mahu terikat dengan peraturan dan kuasa Allah yang telah menjadikan sekelian makhluk dan alam ini bagi mengatur kehidupan golongan ateime ini. Jalan penyelesaian bagi kita sebagai umat Islam apabila berhadapan dengan golongan sebegini ialah dengan Al-Quran. Di dalam kitab suci ini telah terkandung segala wahyu Allah SWT yang menjelaskan tentang segala-galanya kejadian mahupun penjelasan tentang perkara yang tidak terjangkau oleh akal manusia. Ilmu sains yang menjadi pegangan golongan ateisme memang benar dari segi teori dan kajian tetapi ia tidak dapat memberi jawapan yang mutlak melainkan berpandukan kepada al-Quran jua. Al-Quran adalah petunjuk dan pedoman mutakhir bagi seluruh manusia di muka Bumi ini malah jika timbul was-was dalam diri tentang keesaan Allah SWT dan persoalan agama carilah Al-Quran kerana Allah SWT telah jelaskan segala-galanya dalam kitab suci itu.

PERANAN SISTEM PENDIDIKAN DALAM PEMBANGUNAN KELUARGA ISLAM

Pendidikan Keibubapaan


Sistem pendidikan sesebuah negara mempunyai kaitan dengan jenis guna tenaga manusia yang ingin dilahirkan. Pembangunan sumber daya insan dan pembangunan keluarga merupakan dua faktor penting dalam pembangunan Negara. Oleh itu, sistem pendidikan negara harus mampu menawarkan kepelbagaian disiplin dalam kerikulum, ilmu dan ketrampilan. Selain itu, kualiti diri sebagai bakal ibu dan ayah dengan ilmu dan ketrampilan keibubapaan yang baik juga diperlukan. Hal ini menjadi keutamaan kerana kualiti keluarga yang dibangunkan mempunyai hubungan langsung dengan keseluruhan kualiti pembangunan negara. Tanpa unit keluarga yang berkualiti tidak mungkin ia mampu menyumbang ke arah pembangunan negara.

Salah satu aspek pendidikan yang terabai selama ini ialah ‘Pendidikan Keibubapaan’. Sistem pendidikan negara harus menyediakan asas yang kukuh tentang keibubapaan kerana keluarga merupakan unit masyarakat yang penting dalam proses pembangunan negara. Pendidikan keibubapaan bermaksud suatu corak pendidikan langsung dan tidak langsung yang disediakan dalam jadual pendidikan para pelajar. Penyediaan jadual itu harus merentasi sifatnya dari peringkat rendah, menengah hinggalah ke peringkat universiti. Di dalam pendidikan keibubapaan, para pelajar perlu didedahkan dengan ilmu tentang pertumbuhan dan perkembangan kognitif atau minda manusia, perubahan psikik dan emosi manusia dan kaitan kognitif, psikik serta emosi manusia dengan tingkah lakunya. Lebih jauh lagi, pada tahap yang sesuai, para pelajar didedahkan dengan keperluan menjadi ibu bapa yang baik secara teorinya dan ditunjukkan contoh-contoh keluarga yang berjaya serta menyumbang terhadap pembangunan keluarga.

Dapat disimpulkan bahawa pentingnya sistem kekeluargaan memberikan asas pendidikan yang betul kepada anak-anak adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Sistem pendidikan pula menyambung peranan kelaurga tadi dan menjadi pelengkap yang berguna. Sekiranya ibu bapa dan pendidik mempunyai ilmu dan dan ketrampilan keibubapaan yang baik, maka anak-anak yang ceria dan tinggi akhlaknya dapat dibentuk sekaligus dapat membangunkan sebuah keluarga Islam yang cemerlang.