Thursday, October 16, 2008

KEHARMONIAN POLITIK MENDORONG KEUTUHAN UKHUWAH

Islam diutuskan ke alam semesta ini untuk membentuk umat manusia yang bersatu padu, bertoleransi serta saling berganding bahu meneruskan kehidupan ke arah kesejahteraan dan keamanan sejagat. Dalam menjana kestabilan politik sesebuah negara, sifat-sifat yang disebut tadi merupakan antara sifat-sifat yang perlu ada. Mari kita selusuri sejarah pemerintahan Islam terdahulu di mana Masyarakat Madinah yang diperintah oleh Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik kerukunan hidup bernegara atau beragama. Sejurus selepas Rasulullah SAW menubuhkan negara Islam Madinah, Baginda merangka Piagam Madinah bermatlamat mencipta keharmonian politik dengan kesejahteraan hidup bermasyarakat majmuk. Piagam Madinah yang dibentuk bertindak sebagai medium konkrit yang menyatukan pelbagai golongan, ras, suku dan agama sebagai masyarakat majmuk yang harmoni sepanjang sejarah.

Di antara kaedah-kaedah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dalam mewujudkan keharmonian politik negara yang diperintahnya ialah dengan mempersaudarakan masyarakat Ansar Madinah dengan masyarakat Muhajirin Makkah yang memerlukan perlindungan selepasa mereka berhijrah ke Madinah sehelai sepinggang. Kedua, Rasulullah SAW memberi layanan yang sama rata kepada semua rakyatnya tanpa memandang perbezaan bangsa, ras, keturunan dan warna kulit. Akhirnya, Baginda juga sering kali menziarahi orang sakit dan mengunjugi orang yang meninggal biarpun berlainan agama. Perbezaan akidah tidak menyebabkan permusuhan dan pertelagahan antara kaum sebaliknya mereka saling bekerjasama membangunkan Madinah dalam sektor ekonomi, sosial, pertahanan dan keamanan negara. Inilah rahsia kejayaan Baginda dalam membentuk masyarakat majmuk yang bermuafakat dan bersatu padu dalam mengharungi cabaran hidup penuh dugaan. Kesimpulannya para pemimpin sekarang perlulah mencontohi kepimpinan Baginda dalam menjamin keharmonian dan kestabilan politik negara bagi mendorong keutuhan ukhuwah sesama masyarakat majmuk yang menjadi teras keamanan sejagat negara Malaysia yang kita cintai ini.

2 comments:

CaHaYaPeTuNjUk said...

politik yang adil dan telus membina kesejahteraan hidup bermasyarakat..justeru, amalkanlah politik yang berlandaskan ajaran Islam agar kita selamat dunia dan akhirat..

ummah bestari said...

keharmonian politik berasaskan daripada politik yang bersih, bebas dari unsur-unsur yang boleh memecah belahkan masyarakat, khususnya Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk...