Wednesday, October 22, 2008

ILMU TAUHID


SIFATULLAH-MENGENAL ALLAH PADA SIFAT-SIFATNYA.


Akal manusia terbatas dalam mengenal sifat-sifat hakikat Allah SWT kerana akal manusia terbatas, terhad dan hanya mendengar serta menerima dari Allah sendiri melalui Kalam dan Wahyu melalui Rasulullah saw.Jalan yang tepat dan selamat untuk mengenal Allah SWT adalah melalui Al-Quran dan Islam telah menetapkan bahawa manusia tidak layak mengenali sifat-sifat Allah hanya dengan kebebasan daya kemampuan akal sendiri dan Al-Quran telah memberi peringatan yang sangat keras terhadap mereka yang melakukan pendustaan. Kita wajib menerima dan mensifatkan Allah dengan sifat yang telah dinamakan oleh Allah sendiri dengan lafaz yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sama ada melalui wahyunya ataupun melalui lidah Rasulnya.


Hukum mengenal sifat Allah SWT bagi muslim ialah Fardhu Ain. Setiap muslim digalakkan mengenali sifat Allah dengan kadar minima iaitu mengenal dan mengimani dengan penuh yakin bahawa Allah bersifat kesempurnaan dan kemahasucian.


Sifat-sifat Allah boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu sifat zatiyah, fi'liyah dan sifat khabariyah.


Sifat Zatiyah ialah ialah sifat yang wajib bagi zat Allah yang terbahagi kepada sifat nafsiyah, sifat salbiyyah dan sifat thubutiyah. Sifat ini diisbatkan kebenaran melalui dalil naqli dan dan dalil aqli.


Sifat Fi'liyah ialah sifat-sifat yang harus oleh Allah SWT bersifat dengannya dan juga boleh bersifat dengan lawannya. Sifat-sifat ini tergambar dalam Asma' ullah al-Husna. Perbezaan di antara sifat al-dhat dan sifat al-fi'il. Sifat zat bagi Allah ialah sifat yang tiada lawannya contohnya sifat Hidup(al-Hayat) yang mustahil lawannya ialah mati kerana hidup menjadi sifat bagi zat. Sifat al-fi'il pula ialah sifat yang ada lawannya contohnya sifat Al-Muhyi( Menghidupkan) yang mana lawannya ialah al-Mumit (Mematikan).


Sifat khabariah ialah sifat-sifat yang thabit melalui perkhabaran yang benar dan yakin sama ada melalui nas Al-Kitab ataupun hadith yang pada lahir lafaznya serupa dengan makhluk seperti al-Wajh, Al-'Ayn dan Al-Yadd. Kita wajib membenar dan meyakini sifat-sifat khabariyyah dengan makna yang layak dengan keagungan dan kesempurnaan Allah serta mengakui kelemahan diri kita untuk mengetahui maknanya.


Kesimpulannya wahyu Illahi adalah panduan teragung dalam memimpin akal berfikir mencari kebenaran kerana tanpa pimpinan Al-Quran dan Sunnah maka segala persoalan mengenai sifat-sifat Allah akan menyeleweng daripada hakikat yang sebenar kerana Allah sahaja yang mengetahui hakikatnya.

No comments: